Tuesday, October 26, 2010

.: pELuAnG dAkwAh :.

Peluang Berdakwah Melalui ICT di Malaysia

Pertumbuhan yang pesat dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah mewujudkan teknologi Internet dan World Wide Web (WWW). Pada masa kini, Internet dan laman web telah menjadi sumber maklumat utama bagi kebanyakan masyarakat di seluruh dunia.

Pada 24 Mac 2010, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Negara atau National Broadband Initiative (NBI) serta perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau High Speed Broadband (HSBB) sebagai salah satu usaha beliau untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju. Dengan adanya perkhidmatan HSBB, pengguna kini boleh mendapat akses kepada Internet dengan kelajuan di antara 5 Megabit per saat (Mbps) hingga ke 20 Mbps.

Dengan adanya HSBB, maklumat dan kandungan tempatan boleh dicapai dengan lebih mudah dan pantas serta dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ini sangat bertepatan dengan hasrat negara yang sedang berusaha untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat di negara ini.

Seiring dengan perkembangan ICT ini, ia telah mewujudkan peluang berdakwah kepada para da'ie dan orang awam, sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. Terdapat sebilangan pendakwah dan orang awam yang menggunakan laman web sebagai medan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu agama kepada orang lain. Hal ini adalah kerana laman web menyediakan pelbagai interaksi yang interaktif selain turut menjadi satu ruang kolaboratif yang membolehkan pengguna berkomunikasi melalui perkongsian maklumat.

Selain itu, perkembangan ICT ini perlu dipelopori oleh para da'ie masa kini dan mereka perlu mengetahui serba sedikit tentang dunia IT. Para da'ie perlu mempunyai ilmu untuk menegakkan urusan-urusan duniawi. Hal ini adalah kerana dunia masa kini merupakan dunia IT tanpa sempadan. Pengetahuan dalam bidang ICT ini amat perlu sebagai salah satu wasilah untuk menyampaikan dakwah kepada mesyarakat. Perkembangan ICT kini memberi gambaran bahawa terdapat banyak peluang kepada para da'ie untuk berdakwah melalui ICT ini.

Walau bagaimanapun, para da'ie perlu meletakkan pergantungan hidup kepada Allah s.w.t walaupun terdapat kemudahan yang dibantu oleh teknologi dan al-Quran merupakan sumber data, maklumat dan pengetahuan. Sekiranya mereka terlalu taksub dengan bidang ICT ini, dakwah tidak dapat disampaikan dan mereka akan hanyut dalam dunia maklumat. Mereka hanya akan membazirkan masa sahaja dan maklumat yang berkaitan dengan Islam tidak dapat disampaikan.

Nukilan: Nur Fauziah Hasni


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.