Saturday, October 30, 2010

~MEDIA.ELEKTRONIK~

Media Elektronik Dakwah: Positif atau Negatif?

Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi kerana saya masih berpeluang untuk menulis entri ketiga dalam blog saya ini. Entri yang ketiga ini masih lagi berkisar tentang teknologi maklumat.

Setelah membaca buku yang bertajuk ‘Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat’ karangan Zulkiple Abd. Ghani, saya mendapat sedikit sebanyak idea untuk membicarakan mengenai peranan media elektronik dalam penyebaran dakwah di Malaysia.

Media elektronik seperti televisyen, radio dan Internet mempunyai pengaruh yang cukup besar di dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Hal ini adalah kerana masyarakat bergantung 100% kepada media massa (termasuklah media elektronik) untuk mengetahui tentang berita-berita terkini dan memperoleh isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara mahupun luar negara.

Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) pada masa kini turut memberi kesan kepada perkembangan media elektronik. Hal ini adalah kerana Internet telah menjadikan dunia alam maya sebagai dunia tanpa sempadan. Dengan teknologi di hujung jari, maklumat boleh didapati dengan mudah, senang dan pantas tidak kira di mana jua kita berada. Sebagai contohnya, berita-berita terkini dan isu-isu semasa boleh didapati daripada surat khabar elektronik melalui Internet.

Sekiranya diaplikasikan dengan baik, media elektronik dapat dijadikan sebagai salah satu wasilah untuk menyebarkan dakwah dan maklumat mengenai Islam kepada orang ramai. Hal ini dapat dilakukan seandainya para da’ie mahupun orang Islam yang prihatin dengan agama Islam dapat menguasai ilmu mengenai teknologi ini dengan baik seterusnya mempeloporinya dalam usaha untuk menyebarkan dakwah kepada orang lain.

Sebahagian daripada mereka juga harus menguasai bidang penyiaran dan kewartawanan bagi membolehkan mereka menapis sedikit sebanyak maklumat yang akan disampaikan kepada orang ramai kerana tidak semua maklumat yang disampaikan 100% tepat. Sebahagiannya pula mungkin bersifat sekular. Hal ini akan menimbulkan masalah kepada orang ramai yang menerima maklumat tersebut. Maka akan berlakulah gejala-gejala yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat seperti masalah sosial, penyelewengan akidah dan sebagainya. Mereka juga perlu memastikan berita dan maklumat yang berkaitan dengan Islam dapat disampaikan dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan sebagai santapan rohani kepada orang ramai.

Namun, tidak semua maklumat yang terkandung di dalam media elektronik tersebut memberikan input yang positif kepada para penonton dan pendengar sekalian. Pada pendapat saya, sesetengah media elektronik tersebut dan media massa yang lain lebih banyak memuatkan berita dan maklumat mengenai hiburan kerana ia lebih menarik minat orang ramai berbanding isu-isu semasa lain seperti politik, ekonomi, dan terutamanya maklumat berkaitan agama.

Pilihan berada di tangan seseorang individu itu sendiri untuk melakukan sesuatu perkara. Jadi, ‘ tepuk dada, ianya iman’.

Sekian.

Coretan: Nur Fauziah Hasni

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.