Monday, August 9, 2010

.: pErkEmbAnGaN dAkwAh :.

Pendekatan Dakwah dan Kesesuaiannya di Setiap Zaman

Bagaimana dakwah disebarkan pada zaman dahulu? Apakah pendekatan yang digunakan oleh para Rasul untuk menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini? Persoalan ini telah membuatkan saya berfikir sejenak mengenainya kerana zaman dahulu tidak sama seperti zaman kini yang dilimpahi dengan kemudahan dan kesenangan.

Apabila menyoroti sejarah mengenai bagaimana dakwah Islam mampu tersebar dan disampaikan kepada umat manusia pada zaman dahulu, maka kita perlu kembali kepada sirah nabawiyyah kerana di dalamnya terkandung pelbagai cerita mengenai kehidupan Rasulullah s.a.w dan sejarah pergerakan Islam. Sebagai contohnya, pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar baginda sehingga ke hari ini. Hal ini adalah kerana al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami oleh orang ramai dan memberi penjelasan terhadap setiap persoalan yang berkaitan dengan agama dan kehidupan seharian manusia di muka bumi ini. Ramai juga yang telah memeluk Islam kerana tertarik dengan kalimah yang merdu daripada al-Quran itu sendiri.

Berlainan pula halnya dengan pendekatan dakwah yang digunakan pada amasa kini oleh para da’ie. Bertitik tolak daripada pengajaran di atas dan melihat kepada realiti era globalisasi pada masa kini, ruang dakwah serta penyebaran maklumat Islam dengan lebih pantas dan berkesan kini terbuka lebih luas melalui penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Justeru, sebagai seorang Muslim yang prihatin, ia membuka peluang kepada para pendakwah untuk mengaplikasikan perkembangan ICT ini dan menggunakan kepakaran di dalam bidang masing-masing bagi memikul tanggungjawab dakwah. Ruang dan kepakaran itu haruslah dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat dengan nilai murni yang universal.

Banyak cara yang boleh digunakan oleh para da’ie seiring dengan perkembangan ICT ini untuk menyebarkan dakwah kepada orang ramai antaranya adalah dengan membina blog dan laman web yang berkisar tentang Islam dan ajarannya. Kelebihan ini boleh digunakan oleh para da’ie untuk berinteraksi dengan masyarakat umum melalui alam maya tanpa perlu berjumpa secara langsung. Selain itu juga, para da’ie boleh membincangkan tentang ilmu-ilmu atau hal-hal keagamaan, menyampaikan berita-berita terkini dan membincangkan isu-isu semasa yang berlaku di seluruh dunia kepada masyarakat umum.

Namun begitu, di dalam membicarakan tentang kecanggihan dan kepesatan teknologi, khususnya ICT, kefahaman tentang dakwah Islamiah belum terjamin diterima sepenuhnya oleh orang lain. Hal ini kerana kefahaman seseorang individu terhadap Islam itu bukan hanya terletak pada kehebatan teknologi tetapi terletak pada mutu kandungan serta cara atau kaedah penyampaian yang menarik dan berkesan sehingga membolehkan ilmu tersebut masuk ke dalam jiwa manusia.

Justeru itu, seseorang da’ie perlu memuatkan kandungan dan item-item yang berpatutan dan bersesuaian dengan ajaran syariat agar dakwah Islamiah dapat disampaikan dengan berkesan kepada orang ramai.

Nukilan: Nur Fauziah Hasni

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.